Pendaftaran Varieti Tanaman

Pendaftaran varieti tanaman bagi Daftar Varieti Tanaman adalah bertujuan untuk mendaftar kepelbagaian varieti yang ditanam di Malaysia. Senarai varieti tanaman adalah merangkumi varieti diketahui umum (common knowledge) termasuklah varieti yang dilindungi di bawah Hak Pembiak Baka.
 
Pendaftaran ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Komoditi, Jabatan Pertanian sejak tahun 1930an dan kini dipanggil Bahagian Pembangunan Industri Tanaman selepas penstrukturan semula Jabatan Pertanian pada tahun 2019. Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang dan Dasar Kementerian Pertanian Bil. 5/94 (JPPKPBil5/94) yang bersidang pada 13 Julai 1994, mesyuarat telah memutuskan bahawa Jabatan Pertanian diiktiraf oleh Kementerian Pertanian sebagai agensi pelaksana aktiviti pendaftaran dan pengesyoran kultivar/varieti. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tertangguh seketika berikutan penstrukturan semula jabatan dan penyediaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004.
 
Berikutan desakan dari petani bagi mendaftarkan varieti mereka, Jabatan Pertanian mengambil keputusan agar aktiviti Pendaftaran Varieti Tanaman dilaksanakan. Oleh yang demikian, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (pada ketika itu) telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Pendaftaran dan Pengesyoran Kultivar Tanaman Jabatan Pertanian (JPKTJP) diaktifkan semula bagi membolehkan Jabatan Pertanian dapat memainkan peranan dalam perkara-perkara berkaitan dengan pendaftaran dan pengesyoran kultivar/varieti tanaman.
 
Sehubungan dengan itu, aktiviti Pendaftaran Varieti Tanaman ini dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Seksyen Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan (PVP) seperti yang termaktub di bawah Seksyen 4(1)(g), Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 menyatakan bahawa penyimpanan rekod, selain daripada varieti baru yang diberi perlindungan, juga perlu dijalankan.
Objektif Pendaftaran Varieti Tanaman adalah seperti berikut :
 
  • Merekod inventori sumber genetik yang terdapat di dalam negara;
     
  • Memberi pengiktirafan kepada pemilik varieti;
     
  • Sebagai rujukan rasmi negara dan pengenalpastian varieti; dan
     
  • Sebagai sumber asas varieti.
Pendaftaran ini terbuka untuk semua komoditi tanaman yang terdapat di dalam negara :
 
  • Buah-buahan
  • Sayur-sayuran
  • Tanaman bijirin
  • Tanaman industri (kelapa sawit, kelapa, kopi, teh dan sebagainya)
  • Tanaman umbisi
  • Herba dan tanaman ubatan
  • Cendawan
  • Tanaman bunga dan hiasan
  • Tanaman akuatik
  • Tanaman ternakan
  • Tanaman hutan (Akasia, Batai, Jarak, Karas dan sebagainya)
Permohonan ini terbuka kepada tiga (3) kategori :
 
  • Pemilik asal (individu / komuniti)
  • Pemilik asal (Agensi Kerajaan / Syarikat Swasta)
  • Pelapor (bukan pemilik asal)
a)   Permohonan untuk Pendaftaran Varieti Tanaman hendaklah dibuat kepada :
 
  Urus Setia Daftar Varieti Tanaman
Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman,
Jabatan Pertanian,
Aras 7, Blok 4G2, Wisma Tani, Presint 4,
No. 30, Persiaran Perdana,
62624 Putrajaya.
 
b)   Pendaftaran varieti perlu menggunakan Borang DT1 seperti di Lampiran I.
Varieti-varieti tanaman yang hendak didaftarkan dalam senarai Daftar Varieti Tanaman perlu mematuhi syarat-syarat seperti berikut:
 
a)   Sesuatu varieti boleh didaftarkan sekiranya ianya adalah berlainan dengan varieti sediada yang telah didaftarkan.
 
b)   Sesuatu varieti yang hendak didaftarkan mesti mempunyai bilangan yang mencukupi bagi mewakili varieti tersebut mengikut jenis tanaman seperti berikut :
 
BIL. JENIS TANAMAN BILANGAN (POKOK)
1. Buah-buahan 5
2. Sayur-sayuran 30
3. Tanaman bijirin 100
4. Tanaman industri 5
5. Herba dan tanaman ubatan 30
6. Cendawan 30 bag
7. Tanaman bunga dan hiasan 30
8. Tanaman akuatik 30
9. Tanaman ternakan 30
10. Tanaman hutan 5
11. Umbisi 30

 
a)   Pegawai Penciri terdiri daripada Pegawai dan Penolong Pegawai Pertanian daripada Bahagian-Bahagian Jabatan Pertanian yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pertanian.
 
b)   Pegawai Penciri dikehendaki menghadiri kursus asas pencirian yang dianjurkan oleh Urus Setia Seksyen Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan.
Jawatankuasa Teknikal Pendaftaran Varieti Tanaman akan menilai dengan lebih terperinci laporan yang telah dikemukakan oleh Pegawai Penciri.
 
Keahlian Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada :
 
1.   Pengerusi : Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman
 
2.   Setiausaha : Timbalan Pengarah Seksyen Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan
 
3.   Ahli Tetap (Lantikan oleh Ketua Pengarah Pertanian) : Bahagian Pembangunan Industri Tanaman
Bahagian Pengurusan Sumber Tanah
Bahagian Pengembangan Pertanian
Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman
Bahagian Biosekuriti Tumbuhan
 
4.   Jemputan Khas : Pakar tanaman dari Jabatan Pertanian / Agensi Luar yang berkaitan dan masih berkhidmat / telah bersara yang mahir dalam bidang tanaman berkaitan.
Pegawai Penciri (mengikut kes)
 
5.   Urus Setia : Seksyen Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan, Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman
Permohonan varieti dengan maklumat yang lengkap akan disiarkan di Portal Rasmi Jabatan Pertanian untuk notifikasi orang awam dan mengemukakan bantahan sekiranya ada. Tempoh bantahan bermula dari tarikh siaran sehingga tarikh Jawatankuasa Teknikal Pendaftaran Varieti Tanaman bersidang. Jika tiada bantahan dalam tempoh tersebut, permohonan yang telah diluluskan akan diberi no pendaftaran dan sijil pendaftaran. Pendaftaran secara rasminya akan direkodkan ke dalam senarai Daftar Varieti Tanaman serta dipaparkan di Portal Rasmi Jabatan Pertanian.
Kod daftar yang digunapakai sebelum ini adalah seperti di Lampiran II. Kod daftar tersebut akan terus digunakan untuk pendaftaran varieti yang seterusnya. Bagi tanaman baru selain di atas, kod daftar diseragamkan mengikut singkatan nama botani tanaman tersebut seperti di Lampiran III.
 
Mana-mana orang yang berkepentingan boleh membuat bantahan terhadap mana-mana varieti yang telah didaftar dengan menggunakan Borang DT2 seperti di Lampiran IV.
 
HUBUNGI KAMI

Alamat

Kompleks Pertanian Bukit Temiang, KM11, Jalan Kaki Bukit, 02400 Beseri, Perlis.

Telefon

04-938 4466

Email

pertanian.perlis.gov.my
 Peta Laman | Soalan Lazim

Paparan terbaik menggunakan IE9 ke atas / Mozilla Firefox 3.0 ke atas / Chrome dengan resolusi 1360 x 768
HITS PENGUNJUNG
Hari Ini51
Minggu Ini833
Bulan Ini51
Jumlah Pengunjung17224

2022-10-01