Skim Perakuan Pensijilan Pewasapan Malaysia (MAFAS)

Pewasapan merupakan kaedah rawatan yang digunakan dengan meluas di kebanyakan negara dalam menghapuskan perosak dan penyakit hasil tanaman. Walau bagaimanapun, kaedah pewasapan terutamanya yang menggunakan gas methyl bromide (CH3Br) diketahui mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar. Pewasapan masih dianggap sebagai kaedah yang sesuai untuk menangani perosak dan penyakit hasil tanaman. Protokol Montreal masih lagi membenarkan penggunaan methyl bromide dalam aktiviti pewasapan, terutamanya dalam rawatan "pre shipment" dan kuarantin.

Banyak negara mengkehendaki komoditi-komoditi tertentu difumigasi sebelum dieksport. Sebagai bukti dan pengesahan bahawa komoditi-komoditi tersebut telah melalui proses pewasapan, negara-negara pengimport memerlukan syarikat pewasapan atau badan pelulus sesebuah negara mengeluarkan sijil pewasapan yang mengesahkan dengan lengkap bahawa rawatan tersebut telah dijalankan terhadap komoditi berkenaan.

Pewasapan yang tidak efektif akan memberikan impak yang negatif terhadap perdagangan eksport dan integriti hasil produk pertanian Malaysia dipersoalkan di peringkat antarabangsa.

Malaysia komited dalam menangani isu pewasapan kuarantin yang tidak efektif untuk tujuan eksport. Sehingga kini, Malaysia telah mewujudkan Skim Akreditasi Pewasapan (dikenali sebagai Skim) untuk syarikat pewasapan yang menjalankan rawatan pewasapan untuk eksport dalam memastikan bahawa segala keperluan dan syarat pewasapan dipenuhi seiring dengan standard bertaraf dunia yang digariskan dalam Australia Methyl Bromide Fumigation Standard (disebut sebagai Standard).

 
Artikel ini bertujuan menerangkan garis panduan untuk dipatuhi oleh syarikat-syarikat pewasapan dalam menjalankan pewasapan kuarantin untuk komoditi eksport menggunakan gas methyl bromide di bawah Skim.
Artikel ini terhad kepada rawatan dagangan, di bawah syarat-syarat kuarantin dengan pewasapan gas methyl bromide sahaja. Jenis-jenis dagangan adalah seperti :
 
  • Kargo umum; dan
  • Balak
Protokol Pendaftaran
 
Untuk diakreditasi ke dalam Skim, syarikat pewasapan hendaklah mempunyai fumigator berlesen yang sah. Syarikat dengan fumigator berlesen akan didaftar dengan satu nombor ID unik. Syarikat juga diwajibkan merekod nombor tersebut dalam setiap sijil rawatan yang mematuhi syarat-syarat Jabatan Pertanian.

Jabatan Pertanian adalah pendaftar tunggal syarikat pewasapan dan juga fumigator berlesen.

Akreditasi akan diberikan selama dua (2) tahun. Fumigator yang telah diakreditasi dikehendaki memohon untuk pembaharuan akreditasi dalam masa tiga (3) bulan sebelum tarikh luput. Jabatan Pertanian akan menjalankan audit bagi pembaharuan tersebut berdasarkan permohonan.

Jika ada sebarang perubahan melibatkan syarikat pewasapan dan fumigator berlesen, ianya hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Pertanian secara bertulis. Sekiranya integriti rawatan pewasapan tidak dapat dikekalkan, Jabatan Pertanian berhak membatalkan akreditasi tersebut.
Syarikat pewasapan adalah bertanggungjawab :
 
  • Memastikan pewasapan mengikut peraturan, kod keselamatan, syarat pelesenan serta undang-undang yang berkaitan;
  • Memastikan pewasapan mengikut standard;
  • Memastikan hanya fumigator yang diakreditasi sahaja yang dibenar melakukan pewasapan;
  • Memastikan barang yang difumigasi dengan gas methyl bromide adalah sesuai dan dibenarkan;
  • Memastikan pewasapan dijalankan di dalam kontena atau ruang kedap udara yang tertutup;
  • Memastikan fumigator berlesen memiliki pengetahuan yang diperlukan; dan
  • Membantu dan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai prosidur atau dagangan tertakluk kepada Skim ini.
Sistem audit seperti yang digariskan berikut adalah dibuat untuk memastikan prestasi syarikat pewasapan dan fumigator berlesen mematuhi segala peraturan Skim dan prosidur yang terkandung di dalam Skim.
Kriteria audit dibahagikan kepada tiga (3) tahap ketidakpatuhan iaitu minor, major dan kritikal. Ketidakpatuhan yang kritikal akan menyebabkan penggantungan daripada skim. Major dan minor pula memerlukan syarikat mengikuti dan mematuhi langkah-langkah pembetulan serta diaudit.

Jabatan Pertanian akan memaklumkan syarikat pewasapan dan fumigator berlesen secara bertulis mengenai sebarang ketidakpatuhan serta menasihati syarikat dan fumigator tersebut sehinggalah peraturan Skim dan Standard dipatuhi. Satu notis mengenai langkah-langkah pembetulan semula yang akan perlu diambil akan dikeluarkan kepada syarikat dan fumigator.

Sebagai panduan, definasi ketidakpatuhan adalah seperti berikut :
 
a) Ketidakpatuhan MINOR :
 
  • Pelanggaran prosidur yang dibuktikan tidak menjejaskan pewasapan yang dijalankan merujuk kepada Standard.
    (2 kesalahan MINOR bersamaan 1 kesalahan MAJOR)
     
b) Ketidakpatuhan MAJOR :
 
  • Pelanggaran prosidur yang dibuktikan akan menjejaskan pewasapan yang dijalankan tertakluk kepada Standard dan/atau perundangan.
    (2 kesalahan MAJOR bersamaan 1 kesalahan KRITIKAL)
     
c) Ketidakpatuhan KRITIKAL :
 
  • Pelanggaran serius prosidur yang berlaku apabila syarat dan peraturan Skim, Standard dan perundangan tidak dipatuhi yang mana akan juga menggagalkan pewasapan yang dijalankan.
Syarikat pewasapan dan fumigator berlesen yang melanggar syarat dan peraturan pewasapan serta gadal dalam menjalankan rawatan akan digantung serta merta. Surat tunjuk sebab hendaklah dikemukakan sebelum audit semula boleh dijalankan.

Jika semasa sebarang audit dilakukan terdapat satu atau lebih ketidakpatuhan yang kritikal, lebih dari dua kesalahan major dan empat atau lebih kesalahan minor, syarikat dan fumigator akan digantung daripada skim. Audit semula perlu dijalankan dan sekiranya perlu, dilatih semula.

Jika semasa audit, kurang dari empat ketidakpatuhan minor didapati, syarikat dan fumigator berlesen perlu mematuhi langkah pembetulan semula yang disyorkan dan diaudit sekali lagi dalam masa 6 minggu untuk memastikan langkah pembetulan dipatuhi. Jika semasa audit susulan tersebut berlaku lagi ketidakpatuhan, syarikat perlu diaudit semula dan sekiranya masih gagal akan digantung daripada Skim dan dalam masa 6 bulan sekiranya syarikat menunjukkan kepatuhan dan kompeten terhadap skim, audit penyertaan semula akan dijalankan. Latihan semula juga disyorkan.

Akreditasi syarikat pewasapan akan dibatalkan sekiranya :
 
  • Syarikat digantung dalam 3 situasi yang berlainan.
  • Semasa audit penyertaan semula berlaku satu ketidakpatuhan major atau yang sama dengannya.
  • Apabila akreditasi syarikat dibatalkan, sebelum syarikat diakreditasi semula, fumigator berlesen hendaklah mengikuti latihan dan syarikat akan diaudit untuk permulaan.
Adalah sekiranya terdapat keadaan di mana ketidakpatuhan berlaku ekoran dari sebab-sebab yang munasabah dan boleh diterima, rayuan boleh dikemukakan.

Tujuan protokol rayuan ini diadakan untuk menyediakan kaedah rayuan oleh syarikat dan fumigator berlesen sekiranya berlaku keadaan tersebut.

 
Proses Rayuan
 
Rayuan hendaklah dikemukan secara bertulis oleh syarikat pewasapan atau fumigator berlesen.

Surat rayuan hendaklah menerangkan dengan jelas dan jujur mengenai sebab serta alasan rayuan tersebut.

Jabatan Pertanian akan meneliti kes rayuan dalam masa 5 hari bekerja dan akan membuat keputusan bertulis terhadap rayuan tersebut dalam masa 15 hari berkerja bermula tarikh penerimaan rayuan tersebut.
Sebarang pertanyaan, permohonan atau rayuan boleh dikemukakan kepada :
 
Urusetia
Skim Pensijilan Pewasapan Malaysia (MAFAS)
Unit Perundangan
Seksyen Penguatkuasaan
Bahagian Biosekuriti Tumbuhan
Jabatan Pertanian,
Wisma Tani Jalan Sultan Salahuddin,
50632 Kuala Lumpur.
 
No. Tel : 03-2030 1400 / 1412
No. Faks : 03-2691 3530
HUBUNGI KAMI

Alamat

Kompleks Pertanian Bukit Temiang, KM11, Jalan Kaki Bukit, 02400 Beseri, Perlis.

Telefon

04-938 4466

Email

pertanian.perlis.gov.my
 Peta Laman | Soalan Lazim

Paparan terbaik menggunakan IE9 ke atas / Mozilla Firefox 3.0 ke atas / Chrome dengan resolusi 1360 x 768
HITS PENGUNJUNG
Hari Ini47
Minggu Ini829
Bulan Ini47
Jumlah Pengunjung17220

2022-10-01